Latihan Dalam Perkhidmatan 1 untuk guru-guru Sekolah Tinggi Kluang telah diadakan di Stadium Kluang, Johor. LDP ini diadakan pada 14 Januari 2012. Guru-guru mula berkumpul seawal jam 8.00 pagi. Aktiviti pertama yang dijalankan ialah aktiviti regangan yang diketuai oleh En Ibrahim Yusof. Pada jam 8.30 pagi, guru-guru memulakan larian merentas desa di laluan merentas desa di ladang kelapa sawit berhampiran Stadium Kluang yang melangkaui laluan sejauh 4 kilometer. Semua guru telah menamatkan larian tersebut yang turut disertai Tuan Pengetua, Hj Rozali bin Hj Jemali. Selepas menamatkan larian, guru-guru melakukan "cooling down" dan selepas itu guru-guru didedahkan dengan teknik-teknik melatih pelajar untuk persiapan latihan rumah sukan yang akan bermula selepas cuti Tahun Baru Cina. Antara latihan sukan yang didedahkan termasuk lompat jauh, lompat tinggi, lontar peluru dan latihan asas olahraga. Program tersebut dikendalikan oleh En Ibrahim dan En Zahari. Setelah berakhirnya slot tersebut, guru-guru diberi rehat untuk melegakan badan dan mengisi perut masing-masing.
Bagi slot LDP yang kedua, sesi ceramah yang bertajuk 1 Murid 1 Sukan telah diadakan bermula pukul 11.00 pagi. Pihak penganjur LDP telah menjemput Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Johor, Tn Hj Shaharudin Shariff untuk menyampaikan ceramah tersebut. Majlis berakhir pada pukul 1.00 tengahari. Diharap guru-guru mendapat input yang diberikan demi menjadikan pelajar Sekolah Tinggi Kluang yang lebih cemerlang pada tahun ini.



















